PESTA BUKU BRUNEI 2016

PESTA BUKU BRUNEI 2016

Rabu, 30 Oktober 2013

Pesta Buku Brunei 2013


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Februari. - Pesta Buku Brunei 2013 (PBB13) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-29 bertemakan 'Buku Adalah Masa Depan' kini bermula selama sebelas hari sehingga 10 Mac yang menawarkan para pengunjung untuk membeli pelbagai jenis buku yang dijual dengan potongan harga sehingga mencapai 70 peratus seperti buku-buku ilmiah, umum, bahasa, kamus, komik, masakan, ekslopedia, cerita kanak-kanak, komputer dan sebagainya.
Sebanyak 48 toko buku yang terdiri daripada toko-toko buku dalam dan luar negeri seperti dari Negara Brunei Darussalam, Republik Filipina, Republik Singapura, Malaysia, Jordan dan Iran menyertai pesta ini dan sebanyak 106 buah gerai telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku pihak penganjur PBB13.
Di samping itu, pelbagai aktiviti juga diadakan sepanjang pesta berlangsung seperti Peraduan Kuiz Semarak Pesta Buku, Kuiz Pentas Perambahan Brunei, Kuiz Dialek Kedayan, Program Kenali Penulis Kitani, Bengkel Adaptasi Cerpen Ke Teater, Bengkel Melukis Kartun, Peraduan Menulis
Resensi Buku Kanak-Kanak dan Ilmiah-Umum terbitan DBP, Baca Puisi Merdeka, Mari Adik Baca, Pintar Eja dan Tamu Pesta Buku.
Majlis Pelancaran PBB13 yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah yang juga melancarkan sebanyak 48 buah buku dan sebuah majalah terbitan DBP termasuk sebuah buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.
Buku-buku yang dilancarkan terdiri daripada 25 tajuk buku umum, sebelas tajuk buku sastera, 12 tajuk buku kanak-kanak yang antaranya ialah Syair Pertabalan Sultan Ahmad Tajuddin, Cerocok Budaya Brunei, Kajian Ilmiah Syair Kenangan Karya Muda Omar 'Ali Saifuddien dan integriti dan kewibawaan dalam Perkhidmatan Awam.
Mulai tahun ini, DBP turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada buku-buku yang dihasilkan oleh penulis-penulis tanah air dengan mengadakan 'Hadiah Buku Terlaris' (HBT) yang dinilai daripada jualan buku-buku pada tahun 2012 yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit kerajaan, swasta dan orang perseorangan sama ada dicetak di dalam atau di luar negeri.
Dengan adanya hadiah tersebut akan menggalakkan pertumbuhan ramai penulis baru yang lebih kreatif, meningkatkan pertumbuhan industri perbukuan yang lebih kompetitif, meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan, menggalakkan penulis untuk mempromosi dan menjual buku masing-masing yang sekali gus mendukung memperkasa budaya membaca di negara ini.
Tahun ini, dua buah buku terlaris yang diterbitkan oleh orang perseorangan yang mencapai jualan 800- 2000 naskhah pada tahun 2012 dipilih menerima HBT iaitu buku bertajuk 'Amalan Rahsia dan Kehebatan Ayat Al-Qur'an' oleh Awang Haji Mohd. Sahri bin Haji Sulaiman dan 'Kampung Ayer Kenangan Abadi : Kampung Ayer Living Memory' oleh Dato Paduka Dr. Haji Abd Latif bin Haji Ibrahim.
Antara lain, PBB13 bertujuan untuk mengenalkan dan menjual buku selain memberi peluang pertemuan dan interaksi bagi pengedar, penerbit, pustakawan, pencinta buku dan masyarakat umum di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi terhadap buku.
Di samping itu, ia juga memberikan peluang dan membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai tajuk buku untuk dijadikan khazanah ilmu pengetahuan di tempat yang lebih mudah dan selesa, mengeratkan hubungan jalinan kerjasama, hubungan perniagaan dan permuafakatan untuk merancang strategi bagi mengembangkan industri penerbitan buku di peringkat serantau dan antarabangsa serta mampu meningkatkan minda melalui pembacaan dan penyertaan pelbagai kegiatan sampingan seperti ceramah, forum, bengkel dan dialog.
PBB13 dibuka bagi kunjungan orang ramai setiap hari sehingga 10 Mac bermula pukul 8.30 pagi hingga 10.00 malam kecuali hari Jumaat dibukakan pada pukul 9.00 - 11.30 pagi dan 2.30 petang – 10.00 malam.

Sumber: http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/1090-48-buku-dilancarkan-di-pesta-buku-brunei-2013

0 ulasan:

Catat Komen