BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Februari. - Pesta
Buku Brunei 2013 (PBB13) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam Ke-29 bertemakan 'Buku Adalah Masa Depan' kini
bermula selama sebelas hari sehingga 10 Mac yang menawarkan para
pengunjung untuk membeli pelbagai jenis buku yang dijual dengan potongan
harga sehingga mencapai 70 peratus seperti buku-buku ilmiah, umum,
bahasa, kamus, komik, masakan, ekslopedia, cerita kanak-kanak, komputer
dan sebagainya.
Sebanyak 48 toko buku yang terdiri
daripada toko-toko buku dalam dan luar negeri seperti dari Negara Brunei
Darussalam, Republik Filipina, Republik Singapura, Malaysia, Jordan dan
Iran menyertai pesta ini dan sebanyak 106 buah gerai telah disediakan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku pihak penganjur PBB13.
Di samping itu, pelbagai aktiviti juga
diadakan sepanjang pesta berlangsung seperti Peraduan Kuiz Semarak Pesta
Buku, Kuiz Pentas Perambahan Brunei, Kuiz Dialek Kedayan, Program
Kenali Penulis Kitani, Bengkel Adaptasi Cerpen Ke Teater, Bengkel
Melukis Kartun, Peraduan Menulis
Resensi Buku Kanak-Kanak dan Ilmiah-Umum terbitan DBP, Baca Puisi Merdeka, Mari Adik Baca, Pintar Eja dan Tamu Pesta Buku.
Majlis Pelancaran PBB13 yang diadakan di
Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah itu disempurnakan
oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang
Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji
Abdullah yang juga melancarkan sebanyak 48 buah buku dan sebuah majalah
terbitan DBP termasuk sebuah buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.
Buku-buku yang dilancarkan terdiri
daripada 25 tajuk buku umum, sebelas tajuk buku sastera, 12 tajuk buku
kanak-kanak yang antaranya ialah Syair Pertabalan Sultan Ahmad Tajuddin,
Cerocok Budaya Brunei, Kajian Ilmiah Syair Kenangan Karya Muda Omar
'Ali Saifuddien dan integriti dan kewibawaan dalam Perkhidmatan Awam.
Mulai tahun ini, DBP turut memberi
penghargaan dan pengiktirafan kepada buku-buku yang dihasilkan oleh
penulis-penulis tanah air dengan mengadakan 'Hadiah Buku Terlaris' (HBT)
yang dinilai daripada jualan buku-buku pada tahun 2012 yang diterbitkan
oleh penerbit-penerbit kerajaan, swasta dan orang perseorangan sama ada
dicetak di dalam atau di luar negeri.
Dengan adanya hadiah tersebut akan
menggalakkan pertumbuhan ramai penulis baru yang lebih kreatif,
meningkatkan pertumbuhan industri perbukuan yang lebih kompetitif,
meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan, menggalakkan penulis
untuk mempromosi dan menjual buku masing-masing yang sekali gus
mendukung memperkasa budaya membaca di negara ini.
Tahun ini, dua buah buku terlaris yang
diterbitkan oleh orang perseorangan yang mencapai jualan 800- 2000
naskhah pada tahun 2012 dipilih menerima HBT iaitu buku bertajuk 'Amalan
Rahsia dan Kehebatan Ayat Al-Qur'an' oleh Awang Haji Mohd. Sahri bin
Haji Sulaiman dan 'Kampung Ayer Kenangan Abadi : Kampung Ayer Living
Memory' oleh Dato Paduka Dr. Haji Abd Latif bin Haji Ibrahim.
Antara lain, PBB13 bertujuan untuk
mengenalkan dan menjual buku selain memberi peluang pertemuan dan
interaksi bagi pengedar, penerbit, pustakawan, pencinta buku dan
masyarakat umum di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi
terhadap buku.
Di samping itu, ia juga memberikan
peluang dan membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai tajuk buku
untuk dijadikan khazanah ilmu pengetahuan di tempat yang lebih mudah dan
selesa, mengeratkan hubungan jalinan kerjasama, hubungan perniagaan dan
permuafakatan untuk merancang strategi bagi mengembangkan industri
penerbitan buku di peringkat serantau dan antarabangsa serta mampu
meningkatkan minda melalui pembacaan dan penyertaan pelbagai kegiatan
sampingan seperti ceramah, forum, bengkel dan dialog.
PBB13 dibuka bagi kunjungan orang ramai
setiap hari sehingga 10 Mac bermula pukul 8.30 pagi hingga 10.00 malam
kecuali hari Jumaat dibukakan pada pukul 9.00 - 11.30 pagi dan 2.30
petang – 10.00 malam.
Sumber: http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/1090-48-buku-dilancarkan-di-pesta-buku-brunei-2013
Sumber: http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/1090-48-buku-dilancarkan-di-pesta-buku-brunei-2013
0 ulasan:
Catat Ulasan